Aku mula mengenali program ini dengan nama “Online Book
Exchange” pada pertengahan Ramadan yang lalu. Secara kebetulan aku ternampak
status Instagram rakanku, Huda yang mengiklankan program ini. Baru aku tahu
adanya program bertukar buku seperti ini secara atas talian. Selama ini, aku
cuma pergi ke Pusat Pertukaran Buku di Setia Alam. Bawa 10 buah buku terpakai,
dapat tukar dengan 10 buah buku terpakai juga.
Apa yang menarik minatku pada iklan tersebut ialah ayat
seakan-akan ganjaran yang berbunyi: “Jika anda menyertai program ini, anda akan
mendapat buku sehingga 36 buah”. Wah, siapa yang tak teruja kan? Aku terus
bersetuju untuk menyertai program ini walaupun aku masih belum mempunyai
kefahaman yang mendalam tentang sistem program ini.
Sistem “Online Book Exchange” ini menggunakan sistem berantai
yang agak rumit. Aku perlu menghantar SEBUAH buku kepada orang sebelum Huda,
iaitu Puteri. Dalam masa yang sama, aku perlu mewar-warkan program ini di
status Facebook, Instagram, Twitter, Whatsapp dan pelbagai lagi medium media
social. Tujuannya untuk menarik rakan-rakan menyertai program ini.
Rakan-rakanku, contohnya Seha perlu menghantar sebuah buku pula kepada Huda.
Bila pula aku akan mendapat sebuah buku? Apabila rakan kepada rakanku,
contohnya Jiha berminat untuk menyertai program ini, mereka perlu berbuat
demikian. Panjang kan rantaiannya?
Setiap peserta perlu memberi komitmen dan mewar-warkan kepada
rakan-rakan agar rantaian ini tidak terputus. Jika terputus, hanya orang
sebelum kita sahaja yang akan mendapat buku. Rugi. Tapi, Alhamdulillah. Aku
mempunyai bilangan rakan-rakan pencinta buku yang agak ramai. Sehingga selepas
dua minggu, aku memperoleh 17 buah buku! Sungguh aku tak menyangka akan
mendapat kembali buku lebih daripada 10 buah.
Apa yang menarik tentang program pusingan pertama ini ialah kita
sebagai peserta tidak dapat mengetahui daripada siapa kita akan menerima buku
dan judul buku. Tahu- tahu sahaja, setiap hari akan ada posmen datang
menghantar bungkusan di hadapan rumah. Namun, kekurangannya tetap ada.
Kemungkinan untuk mendapat buku yang sudah kita miliki agak tinggi. Di dalam 17
buah yang aku terima, 5 daripadanya aku sudah ada.
Dek keterujaan aku menerima sejumlah buku yang banyak dengan
bermodalkan sebuah buku, aku tergerak untuk mengadakan program ini kali kedua.
Aku mengambil masa lebih seminggu untuk membuat bancian, merangka sistem dan
objektif program tersebut. Ramai rakan-rakanku yang tidak sempat untuk
menyertai usingan pertama mencadangkan agar aku membuat sebuah grup khas di
Facebook.
Pusingan Kedua
Setelah mempertimbangkan banyak isu berbangkit daripada pusingan
pertama program, aku bercadang untuk mengubah beberapa peraturan dalam sistem
pusingan pertama.
Antara isunya adalah isu keselamatan di mana maklumat peribadi
peserta akan lebih mudah tersebar luas di dalam kalangan peserta. Selain itu,
ada peserta yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat kembali apa-apa buku
walaupun mereka telah menghantar sebuah buku seperti yang disyaratkan.
Makanya, aku telah membina sendiri peraturan bagi pusingan kedua
ini. Tidak perlu rantaian yang terlalu panjang. Sangat mudah sahaja sebenarnya.
Akan aku terangkan di bawah tajuk Sistem & Syarat-Syarat Program.
Aku juga telah menetapkan tujuan dan matlamat utama program ini
diadakan; untuk menghadiahkan sebuah buku kepada pencinta buku dan
menggembirakan hatinya. Dalam masa yang sama, membolehkan kita juga mendapat
sebuah buku atau lebih.
Jika masih ada yang tidak dapat walau sebuah buku pun selepas
seminggu, mereka perlu memberitahu aku, dan aku sendiri akan menghantar kepada
mereka sebuah buku. Sebab prinsip program ini, beri sebuah buku, anda dapat
sebuah buku.
Aku tekad untuk memulakan program kedua ini pada 1 Jun 2020. Dua
hari sebelum tarikh tersebut, aku telah mewar-warkan program ini. Apa yang
mengejutkan, tidak sampai sehari program ini diwar-warkan, sudah ada 52 orang
peserta! Kesemuanya sangat bersemangat dan teruja untuk menyertai program ini.
Lebih menarik lagi, apabila seorang peserta telah berjaya merekrut peserta
hampir 15 orang dalam masa beberapa jam! Hebat sungguh aura pencinta buku ini.
Sebut sahaja tentang buku, terus bersemangat. Tabik!
Di awal permulaan program ini, hanya aku seorang sahaja yang
merancang idea, membuat poster, iklan dan pelbagai perkara lagi. Namun, masuk
hari kedua, aku sudah berjaya merekrut hampir 15 orang moderator bagi grup
tersebut. Mereka ini banyak membantu aku bagi menambah kefahaman setiap peserta
program.
Alhamdulillah, bilangan peserta sekarang telah melebihi 130
orang dan sedang bertambah. Peserta-peserta juga telah mula mengepos sebuah buku
kepada penerima sepatutnya. Malah, ada juga yang telah menerimanya.
Jika ditanya, mengapa aku bersusah-payah membina program ini?
Bukan senang untuk mencari peserta di kalangan pencinta buku, sementelah
bilangan pencinta buku hanyalah sedikit sahaja. Banyak kerja dan idea yang
perlu diperah. Nak menghadapi pelbagai kerenah dan persoalan rakan-rakan lagi.
Jawapan aku mudah. Aku cintakan buku. Aku tahu macam mana rasa
gembiranya menerima hadiah buku, terutamanya buku yang memang sudah lama aku
idamkan. Sebab itu, aku cuba fikirkan idea yang mampu menggembirakan hati
pencinta buku sekalian. Aku sangat seronok melihat keterujaan para peserta
ketika menerima buku. Perasaan yang tidak dapat aku gambarkan hanya dengan
kata-kata. Moga-moga ini mampu jadi saham akhirat buatku.
Untuk memudahkan kalian memahami program ini, aku sertakan
sekali maklumat lanjut tentang objektif, sistem dan syarat-syarat program.
Jika ada yang berminat untuk menyertai, boleh sahaja hubungi
akaun Facebook aku, Ana Reads.

No comments:
Post a Comment