Monday, 22 June 2020

MOTIVASI : Luluskah Ujian Untuk Kita ?



LULUSKAH UJIAN UNTUK KITA?

Kredit : Ustaz Khairul Anuar Basri

Tulisan yang baik dari Ustaz Khairul Anuar Basri

Seringkali kita melihat ujian itu sebagai sesuatu yang biasa dilihat oleh orang ramai.
Tak ramai orang melihat ujian itu dari kaca mata yang berbeza.

Sebagai contoh, apabila ada orang yang susah datang minta tolong dengan kita, kita melihat beratnya ujian yang menimpa orang miskin tersebut.

Padahal yang sedang diuji ketika itu bukannya dia tetapi kita. Adakah kita lulus ujian yang Allah datangkan kepada kita melalui orang miskin yang meminta kepada kita?

Suatu ketika dahulu saya pernah sampai ke Masjid Al-Istiqlal di Bandaraya Jakarta. Masjidnya besar. Dikatakan bahawa ia adalah masjid terbesar ketiga di dunia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Saya tengok ramai orang berniaga di sekeliling masjid. Dah macam pasar malam pun ada nampak gayanya. Bersusun-susun tapak berniaganya. Macam-macam pulak benda yang dijualnya.
Kebetulan waktu saya sampai, azan Asar baru selesai berkumandang. Namun yang berniaga tetap berniaga, yang membeli terus membeli.

Sambil menuju masuk ke dalam masjid, hati saya terdetik.

“Hhhh... nama aje duduk keliling masjid. Orang azan pun tak peduli. Takde rasa nak masuk solat ke, nak berhenti sekejap menjual ke.

Adoiii.. berat sungguh ujian Allah untuk orang yang jadi jiran masjid tapi tak solat di masjid”.
Selesai solat, saya cerita benda yang saya rasa tu kepada kawan saya. Respon beliau sangat memeranjatkan saya.

“Mana tahu dia tak solat berjemaah dalam masjid?

Ketika mana Allah menguji orang yang kita rasa dia tak solat berjemaah di masjid walaupun dia jiran paling hampir kepada masjid, ketika itu juga Allah menguji orang yang solat di masjid walaupun dia tinggal jauh dari masjid.

Bahkan, orang yang tak solat Allah Ta’ala uji dengan syukur. Orang yang solat Allah Ta’ala uji dengan ikhlas”.

Ya Allah.. tersentak saya dengar hujahan kawan saya tu. Terus datang rasa bersalah. Kita ingat kita ni habis baik dah. Ibadah yang kita buat tu habis sempurna dah. Rupa-rupanya cacat sana sini, koyak sana sini.

Semalam, buat pertama kali masjid dibuka untuk solat Jumaat. Walaupun penuh dengan SOP yang macam-macam, itulah kali pertama sejak ia di tutup berbelas-belas minggu yang lalu.

Ramai orang melihat tutupnya masjid itu ujian bagi orang Islam. Sehingga orang dah tak boleh nak solat di masjid lagi dalam tempoh berbulan-bulan.

Ramai yang melenting. Tak kurang juga ramainya yang marah-marah; shopping complex boleh buka. Pasaraya boleh buka. Masjid tutup pulak.

Buka saja la. Ni solat ni. Takkan la takut kat virus lebih teruk dari takut kat Allah!

Betul la masjid tutup tu dari 1 sudut ujian bagi kita. Tapi sebenarnya kita tak sedar, Allah nak uji kita dengan ujian yang lebih besar lagi lepas ni.

Bila masjid dan surau nanti dibuka sepenuhnya, adakah pada masa itu kita akan lulus solat berjemaah 5 waktu sehari semalam di masjid surau?

Itulah nanti ujian sebenarnya. Allah nak bagi permulaan yang baru. Allah tutup dulu masjid surau supaya semua orang rasa tak sedap hati dah tak boleh pergi masjid dan surau.

Tapi bila Allah buka masjid dan surau nanti sepenuhnya, adakah kita boleh istiqamah pergi ke masjid, istiqamah solat berjemaah di surau?

Dulu masa masjid surau dibuka, kita tidak hadir 5 waktu berjemaah. Kita ada alasan untuk itu.
Bila ditutup, kita merungut tak boleh nak pergi masjid pula.

Nanti bila dibuka, jika masjid surau tidak penuh at least ketika solat fardhu, apa pula alasan kita?
Sama ceritanya dengan orang yang pergi haji pergi umrah. Mereka melihat ujian itu bila berada di tanah suci. Mereka tak sedar sebenarnya ujian itu bermula sebaik saja kaki menjejak balik ke tanah air.

Adakah solat dijaga sepenuh hati sama seperti di tanah suci?
Adakah sedekah diamal setiap hari sama seperti di tanah suci?

Adakah mulut, tangan, kaki, fikiran dan aurat dijaga sungguh sama seperti di tanah suci?

Itu soalan yang kita saja boleh jawab dengan amalan perbuatan kita. Jawapan dengan mulut, apa saja boleh kita cakap.

Tapi Allah bukan nak dengar apa yang kita cakap. Allah nak tengok apa yang kita buat.
Begitulah.

Melihat ujian dari hanya 1 sudut selalunya tidak membawa kita ke mana-mana. Ia tidak akan menjadikan kita manusia yang lebih baik.

Tetapi jika kita berupaya melihatnya dari sudut yang berbeza, ketika itulah kita akan rasa takut dan bimbang.

Adakah aku akan lulus ujian itu?

Jika ujian di dunia aku sudah gagal dengan begitu mudah, adakah aku bisa untuk lulus ujian akhirat apabila aku berdiri tegak di hadapan Tuhan yang maha berkuasa?

Selamat pagi semua.

Setiap hari baru yang menjelma, ia datang secara pakej dengan pelbagai ujian.

Semoga Allah memudahkan urusan kita dan melepaskan kita dari segala kesusahan.

Amin ya Rabbal ‘alamin.
#KAB
#StayAtHome

No comments:

Post a Comment